Pages

Subscribe:

Thursday 20 October 2011

KEPEKAAN BELIA TERHADAP PERKEMBANGAN TEKNOLOGI

Arus perkembangan teknologi begitu dekat dengan kehidupan kita terutamanya golongan belia. Kewujudan teknologi membawa kemajuan dalam kehidupan belia malahan corak kehidupan belia juga berubah seiring dengan kemajuan golongan belia dari negara maju yang lain. Golongan belia sangat peka dengan pertumbuhan teknologi, tambahan lagi, penggunaan teknologi merupakan satu keperluan dalam kehidupan kita. Golongan belia perlu menyiapkan diri mereka dengan kemahiran dan pengetahuan tentang perkembangan teknologi agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan arus peredaran zaman. 

Sumber: Google Images
Seperti yang telah kita tahu, teknologi dahulu dan sekarang banyak perbezaannya, contohnya dari segi cara penggunaannya. Jika dahulu, kita hanya menggunakan surat untuk berkomunikasi dengan orang yang berada pada jarak yang jauh dari kita, namun kini kita hanya menggunakan saluran internet seperti emel sebagai medium komunikasi jarak jauh. Penggunaan internet sangat pantas, canggih dan membuatkan dunia tanpa sempadan. Selain itu, penggunaan telefon bimbit juga amat penting dalam kehidupan. Hal ini kerana pelbagai fungsi yang dapat digunakan melalui telefon bimbit seperti kamera, video, penghantaran mesej dan lain-lain. Belia perlu bijak menggunakan teknologi ini. Pendokumentasian juga semakin sistematik dengan adanya perkembangan teknologi kini seperti hard disc, fragment, disc clean up dan sebagainya.

Masyarakat kini hidup dalam era globalisasi yang penuh dengan perkembangan teknologi yang pesat dan canggih. Wujudnya information technology and communication (ICT) memudahkan belia dalam mencapai maklumat terkini dunia dan pengetahuan tanpa batas. Sebelum wujudnya ICT, belia iaitu pelajar-pelajar IPTA dan IPTS hanya menggunakan buku, majalah, jurnal dan lain-lain sebagai rujukan mereka untuk menyelesaikan tugasan, namun kini mereka tidak perlu lagi bersusah payah menggunakan bahan-bahan bercetak tetapi menggunakan ICT sebagai tempat rujukan mereka. Penggunaan ICT memudahkan urusan pencarian maklumat secara meluas. Penggunaannya sangat bermakna sekiranya digunakan dengan betul.

Sumber: Google Images
ICT merupakan tempat untuk para graduan mencari jawatan kosong dalam bidang pekerjaan. Dengan wujudnya laman web seperti Jobstreet, Jobseeker dan lain-lain memudahkan belia mencari pekerjaan. Penggunaan ICT mendorong golongan belia berfikiran kreatif dan inovatif. Penguasaan ICT oleh pelajar universiti seluruh Malaysia semakin mantap dengan penyertaan mereka dalam pertandingan Robocon Malaysia yang mendapat sambutan yang menggalakkan dari 64 kumpulan daripada 31 pusat pengajian seluruh Malaysia. Gadget-gadget terkini yang menjadi kegilaan belia masa kini ialah Apple iPad 2, Blackberry, Canon PowerShot G12 dan lain-lain.
Penggunaan ICT dapat menjimatkan masa dan wang kerana terdapatnya laman web ‘e-Banking’ yang membolehkan masyarakat membuat pembayaran bil, transaksi wang, tambah nilai prabayar, pembayaran saman dan lain-lain. Laman web ini ditubuhkan untuk memudahkan urusan organisasi kerajaan dan swasta dengan para pelanggan. Penggunaan ‘e-Banking’ ini seperti Maybank2U, CIMB Clicks dan lain-lain semakin popular dalam kalangan masyarakat. 
Teknologi lain yang semakin berkembang penggunaannya ialah kad pintar yang mana ia diaplikasikan melalui penggunaan cip pada kad pintar tersebut. Contohnya, kad pengenalan, MyKad yang mempunyai pelbagai fungsi melalui satu cip sahaja seperti Touch n Go, lesen kenderaan, status jenayah dapat diketahui, maklumat peribadi dan sebagainya. 
Kesimpulannya, perkembangan teknologi kini memberi manfaat yang sangat bermakna kepada masyarakat terutamanya golongan belia. Di samping itu, ia juga mendidik belia tentang kepentingan dan keperluan teknologi pada masa kini dan masa hadapan. Perkembangan teknologi yang semakin pesat ini mampu memperkasakan belia ke arah yang lebih maju.

No comments:

Post a Comment