Pages

Subscribe:

Friday 2 December 2011

Belia & Adab Menggunakan Teknologi

Minggu terakhir ini bakal membincangkan belia dan adab menggunakan teknologi. Siapa belia? Belia secara umumnya di definisikan sebagai seorang yang cukup matang menilai sesuatu, mari kita kaitkan kematangan ini dengan kebijaksanaan menggunakan teknologi.
 Apa itu teknologi?. Perkataan teknologi berasal dari perkataan dasar Latin texere yang bermaksud menubuhkan atau membentuk. Teknologi boleh diringkaskan sebagai satu proses pengaliran, penyebaran, pemprosesan dan menyimpan maklumat menggunakan perantaraan teknologi. Ia juga disifatkan sebagai satu bentuk pemudah cara yang membolehkan pengaliran maklumat menjadi sangat pantas. Teknologi Komunikasi tidak terhad kepada internet dan komputer sahaja, tetapi ia melibatkan televisyen, telefon, telefon mudah alih, fax, PDA, dan sistem satelit dalam menyampaikan maklumat kepada penerima.
Kemajuan teknologi yang begitu cepat memaksa masyarakat berfikir cara untuk mempercepatkan atau meningkatkan kecekapan serta keberkesanan dalam berkomunikasi. Teknologi? semua orang sudah faham apa itu teknologi, tapi, adakah semua orang faham tentang teknologi sekarang merupakan satu inovasi daripada teknologi dahulu. Menurut kamus dewan edisi keempat, inovasi ditakrifkan sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat, dan sebagainya. Buktinya, menurut tokoh,  inovasi adalah aplikasi komersial yang pertama kali dari suatu produk atau proses yang baru ( Clark dan Guy, 2001). Menurut Rogers (2003), sesuatu inovasi itu akan mudah di terima oleh masyarakat apabila ia memenuhi ciri-ciri tertentu. Ini bermakna teknologi, gadget dan era global telah di terima oleh masyarakat. Penerimaan ini juga menimbulkan persoalan baru, adakah masyarakat kini termasuklah golongan belia yang merupakan tunggak kepimpinan masa depan bijak dalam menggunakan teknologi? Adakah selari dengan adab dan etika sebagai seorang pengguna yang bijak. Mari kita sama-sama menyelami persoalan ini.

Menghormati orang lain: Kemajuan teknologi dan globalisasi bukanlah alasan untuk menjadikan nilai sivik itu semakin “menjunam ke perut bumi”. Jelas di lihat, penggunaan telefon mudah alih yang boleh dimanfaatkan di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja akan memberi satu impak yang besar terhadap nilai moral. Contoh, pengguna perlu menggunakan telefon untuk berkomunikasi secara berhemah, bercakap dengan sopan santun walaupun tidak cukup mengenali pihak yang saling berinteraksi. Apabila bercakap di telefon, tidak perlulah bercakap menggunakan volume yang tinggi umpama ini beritahu semua orang bahawa dirinya sedang bercakap di telefon. Belajar lah menghormati “privasi” orang lain terutamanya di kawasan awam seperti tempat beli-belah, terminal kenderaan awam dan lain-lain.
Sumber: Google Images

Selain itu, perihal menghormati hak privasi orang lain dalam menggunakan teknologi perlu lebih di ambil berat. Termasuklah penggunaan komputer, internet yang melibatkan blog, face book, email, skype dan lain-lain. Contoh yang di ambil ialah blog dan face book. Melalui blog, penulis itu berhak menulis apa saja yang terlintas di fikiran dan hatinya, boleh bercerita tentang peribadinya. Jika apa yang di ceritakan itu sesuatu yang positif dan boleh menjadikan masyarakat menghormatinya, ia adalah satu inisiatif yang baik, tapi jika hasil penanya itu mengaibkan diri dan orang lain, itu satu dampak yang memalukan. Di dalam Face book pula, setiap “post” akan di komen, komen-komen yang membina, menggembirakan satu tindakan positif, namun fitnah, meluahkan amarah dengan menyatakan siapa yang buruk itu adalah negatif. Sekalipun bersalah, hormatilah orang lain agar diri sendiri di hormati. Kemarahan melambang diri siapa diri penulis itu sendiri. Be carefull!
  Tanpa kita sedar, rupa-rupanya sikap belia yang suka memperlihatkan idea melalui kritik dan telus adalah satu momentum pembangunan minda yang baik. Belia yang mampu menyatakan kritikan membina, disertai dengan cadangan bernas merupakan pemimpin hebat masa hadapan. kita juga mempunyai nilai positif yang kita sendiri tidak sedar.  Jika kita pergi ke aspek budaya, masyarakat kita tidak suka apabila seseorang itu bersuara lantang atau bongkak. Orang barat tidak akan bersetuju, dan menyatakan kita tidak menghormati hak peribadi mereka. Tetapi di Malaysia kita ada budaya kita sendiri. Kita diingatkan supaya merendah-rendahkan diri, tidak mengagungkan kelebihan sendiri. Tetapi apabila diberikan peluang untuk berucap, kita boleh berucap dan berkongsi pengalaman dan ilmu seperti orang lain. Itulah nilai budaya masyarakat timur. Budaya timur ini dimanfaatkan oleh golongan belia kita supaya menjadi lebih terserlah dan berkelakuan lebih baik di mata dunia.
  Menggunakan teknologi  dengan tujuan yang wajar: Media adalah teknologi komunikasi, satu medium untuk masyarakat awam berinteraksi dan meluahkan pendapat terutamanya komputer/ internet. Pendedahan kepada komputer dan teknologi maklumat (IT) mewujudkan budaya celik komputer dalam kalangan masyarakat terutama belia. Jika sedar, komputer boleh diibaratkan sebagai sebilah pisau, ia boleh memotong dan juga membunuh. Wujudnya kebimbangan tentang wujudnya individu yang obsesi terhadap komputer hingga mengabaikan kehidupan yang normal. Contoh, mungkin terdapat individu yang membuang masa untuk melayari talian "chat" pornografi, dan permainan video.
Penyalahgunaan yang sering kita dengar adalah pengiriman spam di kategorikan sebagai sampah Internet merupakan tindakan luar batas kesopanan. Ada juga kes pemalsuan melibatkan pengubahsuaian laporan dan data sesebuah organisasi swasta dan awam. Wujud juga kes penyebaran virus dan ugutan menggodam. Sesetengah pihak yang membuat kajian terhadap isu jenayah dan keselamatan komputer sebelum ini pernah mendedahkan bahawa sebahagian responden yang terlibat dalam tinjauan tersebut melaporkan kerugian dari segi kewangan akibat serangan penceroboh. Jika ditafsirkan, nilai kerugian terkumpul dari segi kewangan tidak mustahil boleh mencecah jutaan ringgit.
Teknologi telekomunikasi telah banyak mengubah gaya hidup manusia, termasuk masyarakat di negara kita. Jika satu ketika dulu telefon bimbit salah satu lambang kemewahan atau barangan eksklusif lagi berprestij, tetapi kini persepsi itu telah berubah. Telefon mudah alih atau juga dikenali sebagai telefon bimbit atau telefon selular sudah menjadi keperluan harian. Bayangkan jika anda tidak memiliki telefon bimbit sekarang. Bagi sesetengah orang, mereka akan terasa benar, sangat sukar hidup tanpa peranti ranggi itu. Di sebalik kecanggihan teknologi telefon bimbit juga, wujudnya penyalahgunaan dalam kalangan belia dan memberi impak yang negatif kepada belia pada masa kini. 
Contohnya: AKSI-AKSI panas pelajar di sekolah yang disebarkan menerusi telefon bimbit amat memalukan.
Sumber: Google Images
Ada KES di sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu menjual “ publisiti”, aksi panas seorang pelajar perempuan dalam klip video yang tersebar ke serata Malaysia. Klip video yang berlatarkan sebuah medan ilmu menjadi pilihan lokasi penggambaran 'krew remaja' yang kurang nilai sivik ini. Rakaman video yang dibuat menerusi telefon bimbit berkamera seperti itu sebenarnya bukan perkara baru dan tidak hanya berlaku di sekolah. Megah terpampang di dada akhbar kes seperti ini yang berlaku di bilik sewa, taman rekreasi dan sebagainya. Suka atau tidak, ia seakan satu trend dalam era teknologi hari ini. Ini memperlihatkan rendahnya moral individu tertentu melewati arus global ini.
"Inilah namanya 'fenomena global'. Kalau tak ada 'handphone', seperti ketinggalan zaman. Hakikatnya, inilah harga pemodenan yang perlu dibayar. Maksudnya, nikmat pembangunan kebendaan yang hadir bersama kesan positif dan negatif.  Menurut pandangan Dr. Sarjit Singh Gill, seorang Ahli Antropologi Sosial dari Universiti Putra Malaysia (UPM), “Sebagai rakyat Malaysia yang bijak, kita hendaklah cuba mewujudkan satu budaya penggunaan teknologi yang sihat dalam usaha kita memperlengkapkan diri sebagai seorang yang berilmu dan berpengetahuan. Ini membolehkan kita terus bersaing dalam dunia yang dikuasai dan dimonopoli oleh pelbagai teknologi terkini yang menjadi penggerak pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.”
 Sepatutnya, teknologi seperti internet, telefon mudah alih, televisyen, di gunakan dengan sewajarnya sahaja. Teknologi seperti ini boleh digunakan untuk menjana idea demi pembangunan negara dan kemajuan intelektual pemimpin masa hadapan. Masyarakat boleh menggunakan teknologi untuk berkomunikasi dengan pemimpin negara, namun dalam kemudahan ini, terdapat kekurangannya. Wujud satu “penghalang” untuk seseorang pemimpin itu menerima idea atau pendapat masyarakat melalui internet kerana mereka beranggapan bahawa idea-idea maya itu hanyalah satu pendapat yang diiringi emosi.
Jika persoalan sejauh mana tahap keterbukaan itu berbanding dengan negara lain, tahapnya tiga daripada sepuluh. Pembuat keputusan di Malaysia masih mempertikaikan pengiktirafan kumpulan belia jika mereka mengambil idea daripada golongan belia apalagi dalam alam maya seperti internet, itulah masalah yang jelas. Masalah di Malaysia, para belia diangkat di tempat yang tidak sepatutnya dan kebanyakan tidak boleh bersuara. Karenah birokrasi selalu menjadi benteng untuk menyampaikan idea yang bernas.
     Di sini, di petik satu kes akibat penggunaan teknologi yang tidak wajar tujuannya.
“Bayi mati kelaparan, orang tua asyik di internet”Diperbaharui March 6, 2010 15:42:22. Petikan daripada laman web : www.radioaustralia.net
Polis Korea Selatan mengatakan, sepasang suami-isteri telah membiarkan bayi perempuan mereka kelaparan hingga mati, sementara mereka alpa dalam permainan online . Suami berusia 41 tahun dan isterinya, 25 tahun, telah ditangkap, 5 bulan sejak mereka melaporkan kematian bayi mereka berusia 3 bulan itu. Polis mengatakan, pasangan suami-isteri tersebut telah diburu sejak bayi mereka mati. Polis mendakwa bahawa pasangan tersebut memberi makan bayi yang lahir muda itu hanya sekali sehari, dalam jangka waktu 12 jam, dan mereka menghabiskan masa di Cafe Internet berdekatan dengan kediaman mereka. Seharusnya dengan adanya teknologi ia akan mempermudah kerja seharian kita, sebaliknya pula yang berlaku.
     Kebebasan bersuara melalui  teknologi , tetapi penyiaran komen tidak menyentuh sensitiviti kaum @isu tertentu: Sekarang golongan belia menggunakan laman sosial “Facebook” untuk berkomunikasi dan melakukan perubahan sosial. Zaman dahulu berkomunikasi dengan menulis surat, menonton televisyen, dan mendengar radio. Komunikasi adalah asas dalam kehidupan manusia. Ia melibatkan harapan, kekecewaan, kehendak, luahan dan sebagainya. Komunikasi akan menyampaikan makna-makna tertentu, namun penggunaan teknologi untuk berkomunikasi atau berinteraksi ada kalanya tidak selari dengan etika dan adab.
Kebebasan bersuara adalah kebebasan untuk bersuara tanpa batas atau penapisan. Istilah yang bersinonim, kebebasan menyatakan pendapat kadangkala digunakan sebagai maksud kepada bukan sahaja kebebasan bersuara secara percakapan verbal, tetapi juga tindakan mencari, menerima dan menyebarkan maklumat atau idea, dengan tidak mengira medium yang digunakan. Kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat berkait dengan, tetapi berasingan dengan, konsep kebebasan berfikir atau kebebasan menilai. Dalam realiti, hak kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak di mana-mana negara dan hak ini lazimnya dihadkan, misalnya dalam konteks "kebencian". Ini disebabkan menggunakan kebebasan bersuara selalunya dalam konteks amalan yang saling bertentangan.
  Teknologi komunikasi memberi ruang kepada masyarakat untuk menyatakan pendapat secara terus tanpa melalui kerenah birokrasi yang adakalanya menyekat perubahan yang lebih baik. Sebagai contoh, tidak terdapat akta tetap yang menghalang seseorang itu untuk menyatakan pendapat atau memberikan idea. Namun, sebagai seorang yang mematuhi norma kehidupan perlulah menghormati hak dan privasi, identiti orang lain. Idea, komen atau kritikan tidak boleh menyentuh isu-isu sensitif seperti yang termaktub dalam perlembagaan, isu-isu perkauman, agama, budaya dan sebagainya. Setiap orang perlu menghormati dan lebih memahami tentang perbezaan yang semestinya wujud dalam masyarakat.
       Peruntukan Undang-Undang penggunaan teknologi: Manusia / belia mempunyai minda, mereka bebas untuk guna tanpa sekatan-sekatan undang-undang. Struktur unik Internet telah membimbangkan pelbagai sistem kehakiman. Meskipun terdapat dalam komputer fizikal dan peralatan elektronik di alam nyata, Internet itu sendiri bersifat maya. Apabila seseorang individu itu melayari Internet dan berinteraksi menyebabkan wujudnya kemungkinan yang besar untuk  mereka memalsukan maklumat peribadi mereka. Sekiranya ada undang-undang yang memerintah Internet, pastinya berbeza dengan undang-undang yang negara-negara sekarang. Namun masih terdapat undang-undang yang mengawal bahagia-bahagian tertentu dalam internet. Sebagai contoh, Akta Hak Cipta, Akta Jenayah dan lain-lain.
    Undang-undang Hak Cipta. Hak cipta ialah satu set hak eksklusif yang mengawal penggunaan sesuatu pernyataan idea atau maklumat. Dalam kebanyakan kes, hak-hak ini adalah untuk tempoh yang terhad. Simbol untuk hak cipta ialah ©, dan di sesetengah bidang kuasa, simbol itu boleh digantikan dengan (c).Hak cipta boleh wujud dalam berbagai-bagai karya kreatif, intelektual, atau berseni. Ini termasuk puisi, tesis, drama, buku, filem, karya koreografi (tarian, balet, dll.), gubahan muzik, rakaman audio, lukisan, arca, gambar foto, perisian, serta siaran radio dan televisyen, dan di sesetengah bidang kuasa, juga seni reka perindustrian. Hak cipta ialah sejenis harta intelektual; reka bentuk dan seni reka perindustrian boleh merupakan jenis-jenis harta intelektual yang berasingan atau bertindih dalam sesetengah bidang kuasa. Oleh itu, Akta Hak Cipta mengawal sesetengah individu tertentu untuk tidak melangkaui batasan nya.
Kesimpulannya, jelaslah bahawa dalam menggunakan teknologi, belia harus bijak dan beradab agar tidak melanggar norma kehidupan sebenar. Hakikatnya, sekalipun cabaran teknologi itu sangat berkesan, setiap individu perlu belajar mengawal diri daripada melakukan sesuatu yang tidak wajar kerana pemimpin yang bijak akan menggunakan minda sebelum mengucapkan kata-kata, bukan membiarkan lutut yang berbicara. Akhir sekali, saya ingin memetik kata-kata daripada akhbar.
“Kita tidak mempunyai pilihan melainkan untuk meneliti secara kritikal dari implikasi globalisasi yang semakin rancak dan tidak terkawal. Golongan muda seharusnya berani untuk menyanggah arus globalisasi bagi memastikan jati diri kita yang sebenar tidak akan digadai. Hanya golongan muda yang mempunyai keberanian dan keyakinan diri bahawa sementara kita ingin berinteraksi dengan dunia luar kita tetap akan terus yakin dan tegas dalam mempertahankan kejatian diri kita. Tanpa kesedaran ini globalisasi akan menenggelam dan melemaskan golongan muda dengan nilai dan pegangan hidup yang sangat mengelirukan dan palsu.(UTUSAN PENGGUNA, NOVEMBER 1997, M/S 32).”

No comments:

Post a Comment