Pages

Subscribe:

Wednesday 30 November 2011

Teknologi dalam meningkatkan pemikiran & cara hidup belia.


     Blog pada kali ini akan membawa kita melihat dengan lebih jauh lagi tentang perkaitan teknologi dalam mempengaruhi peningkatan pemikiran dan cara hidup belia. Adakah teknologi mampu memberi kesan terhadap bagaimana cara belia berfikir? Adakah benar cara hidup belia masa kini dipengaruhi oleh teknologi? Jadi, kita lihat dahulu apa itu yang dinamakan dengan belia. 
     Mengikut Majlis Belia Malaysia, ia mendefinisikan bahawa belia merupakan seseorang yang berumur dari 15 hingga 40 tahun berdasarkan Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2008. Belia merupakan generasi pelapis negara. Penguasaan dalam bidang sains dan teknologi dalam kalangan belia adalah penting untuk membangunkan negara supaya negara dapat bersaing dengan negara maju yang berjaya dalam bidang teknologi.
     Seorang penyair Arab Shauki menyatakan di dalam syairnya bahawa “jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, maka lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari ini. Jika generasi mudanya hari ini merupakan generasi yang mempunyai jati diri yang unggul dan hebat maka adalah menjadi satu jaminan bahawa masa depan negara akan terjamin dan maju. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya generasi muda hari ini tidak berpegang pada nilai dan jati diri yang benar, maka lihatlah keruntuhan sesebuah negara yang mana tidak kita inginkan akan berlaku.”
     Dalam era ledakan maklumat ini, dengan capaian yang mudah lagi pantas menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amat penting khususnya internet, menjadikan semua dapat menerima apa sahaja maklumat dan segala bentuk berita dengan hanya sekelip mata. Melihat kepada masa kini, golongan belia yang terdedah dengan teknologi baik dari segi teknologi maklumat mahupun lain–lain teknologi pemikirannya sangat terkehadapan dan matang. Hal ini kerana banyak perkara yang mereka pelajari daripada teknologi. Teknologi maklumat seperti internet kini telah menjadi sebahagian daripada manusia bagi memperluas pengetahuan dalam memajukan pemikiran dengan menggunakan dan menguasai kemudahan teknologi umpama “ maklumat di hujung jari”.
     Belia pada masa kini amat celik IT. Dengan adanya teknologi, golongan belia dapat menyediakan diri dengan pelbagai bentuk maklumat dalam semua bidang kerana mereka memiliki dunia tanpa sempadan dan ini menjadikan perhubungan mereka sangat bebas dan luas. Apa sahaja perkembangan seluruh dunia ada dalam tangan golongan belia masa kini. Keterdedahan mereka secara maya dalam informasi seluruh alam mempengaruhi corak pemikiran dan minda belia.
     Mereka juga matang dalam memberikan komen dan membincangkan sesuatu isu. Sebagai contoh dari segi politik, generasi muda belia tidak mudah terpedaya dengan kumpulan yang mempunyai kepentingan sendiri yang membawa ideologi dan perjuangan yang membabi buta kerana mereka boleh mengetahui dan mencari maklumat yang banyak daripada internet. Daripada internet, generasi belia mampu mengetahui apa situasi yang sebenarnya berlaku dan daripada pembacaan inilah akan membentuk corak pemikiran belia yang kritis dalam menilai dan mengulas tentang sesuatu isu. 

Parlimen belia sedang bersidang di House of Common UK. 
Sumber: Google Images

     Dengan penggunaan teknologi seperti ICT juga mendorong kepada golongan belia untuk berfikir secara lebih kreatif dan kritis. Hal ini dapat dilihat melalui penghasilan blog di mana belia masa kini semakin lantang dan berani bersuara dalam mengutarakan pendapat mengenai sesuatu isu terutama isu yang melibatkan kemanusiaan. Kepekaan dan pandangan belia tentang sesuatu isu secara kritikal mampu membuktikan kematangan mereka dalam menyumbangkan idea.
     Sebagai contoh, pada tahun 2008, seramai lima orang belia telah terpilih mewakili negara mengikuti Forum Pembangunan ICT Remaja di Armenia yang dianjurkan oleh Perikatan Global Bangsa-Bangsa Bersatu. Forum (UN GAID-GYF) itu adalah usaha badan dunia untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan pembangunan ICT di peringkat global. Ini membuktikan peranan belia semakin kuat dalam pembentukan sesebuah pembangunan di dunia. Hal ini turut memperlihatkan bahawa suara golongan belia dianggap penting dan lebih penting lagi, dengan teknologi golongan belia dapat memperkasakan maklumat yang sedia ada.
Forum Pembangunan ICT Remaja di Armenia
     Bagaimana pula dengan cara hidup belia? Adakah teknologi membawa pengaruh terhadap cara hidup belia? Dengan adanya teknologi, belia dapat explore dalam bermacam-macam perkara seperti sukan, fesyen, filem,, audio, kelab, kempen dan sebagainya. Hal ini menjadikan golongan belia masa kini lebih mengetahui perkara dengan lebih luas jika dibandingkan dengan golongan belia dahulu.
     Dengan adanya teknologi seperti ini, ia menjadikan kehidupan belia sekarang lebih maju setanding dengan golongan belia di negara-negara maju yang lain. Disebabkan kewujudan teknologi ini yang membawa perubahan kepada corak atau gaya hidup golongan belia masakini.
     Sebagai contoh sebelum kehadiran teknologi, golongan belia menghabiskan masa mereka pergi ke perpustakaan meminjam atau membaca buku. Namun, selepas kehadiran teknologi, mereka dapat membaca buku hanya dengan melalui buku online yang ada di dalam internet. Ini memudahkan urusan dan menjimatkan masa mereka tanpa perlu bersusah-payah ke perpustakaan. Bukan itu sahaja, golongan belia juga dapat mengulang kaji hanya di rumah sahaja. Selain itu, perkembangan era teknologi yang pesat menjadikan kehidupan golongan belia kini banyak bergantung kepada komputer dan teknologi di era globalisasi ini.
      Kesimpulannya, kewujudan teknologi ini banyak membawa kebaikan kepada cara hidup golongan belia. Belia kini sudah mampu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai jenis pengetahuan dan kemahiran. Hal ini disebabkan oleh desakan hidup mereka yang seiring dengan peredaran zaman sekarang. Belia perlu menyiapkan diri mereka dengan pelbagai jenis pengetahuan supaya mereka setanding dengan golongan remaja dari negara lain. Ini juga boleh mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada negara kerana belia adalah aset utama dalam pembangunan negara kita. Mereka perlu menyeimbangkan penggunaan teknologi supaya tidak menjurus ke arah keburukan yang boleh menjejaskan identiti mereka sebagai belia Malaysia. Oleh sebab itulah, belia perlu bijak menggunakan teknologi yang ada supaya mereka mendapat faedah daripada kewujudan teknologi tersebut. Belia perlu bijak mengatur masa hadapan mereka supaya mereka menjadi belia yang cemerlang dan berkualiti.


No comments:

Post a Comment