Pages

Subscribe:

Thursday, 24 November 2011

Teknologi dalam Melahirkan Bakat Belia.

     Kemajuan teknologi kini yang seakan-akan meledakkan dunia telah mencetuskan satu fenomena dalam melahirkan bakat belia. Bakat yang dipupuk dengan pelbagai aplikasi canggih ini mungkin asalnya sekadar suka-suka untuk hiburan atau secara tidak disengajakan. Namun begitu, jangan hairan kerana ada juga yang serius berkecimpung mengasah bakat melalui teknologi demi minat dan jaminan kerjaya di masa hadapan.
     Apabila menyebut tentang bakat, apakah yang anda faham dengan interpretasinya? Adakah ia harus dipupuk atau tidak perlu iaitu lahir secara semulajadi? Bagi pendapat peribadi saya, “bakat” boleh kita fahami sebagai kebolehan atau kelebihan yang dimiliki seseorang untuk membuktikan keistimewaanya dalam sesuatu bidang berbanding orang lain. Bakat boleh dipupuk atau wujud secara semulajadi yang mana memang kurniaan Tuhan atau dipelajari dan diasah.
     Salah satu modus yang berjaya melahirkan bakat belia dengan sangat berkesan pada hari ini ialah melalui aplikasi teknologi. Skop teknologi yang sangat luas, ditambah pula dengan kewujudan internet yang memudahkan capaian jaringan komunikasi secara terbuka kepada semua orang memudahkan para pengguna mendedahkan (expose) diri mereka kepada khalayak umum. Contoh terdekat saya ambil adalah dari realiti pada hari ini yang mana kelahiran ramai artis You Tube. You Tube membolehkan sesiapa sahaja menghantar rakaman video mereka dan boleh di “share” oleh penonton yang lain. Selalunya bakat yang diketengahkan berkaitan bidang muzik, tarian, humour dan sebagainya.
     Artis You Tube yang berjaya dengan kepopularan bakat selalunya muncul bersama lagu-lagu hit yang dicipta dan dinyanyikan sendiri. Misalnya, kemunculan artis You Tube yang paling popular pada masa kini iaitu Najwa Latif awalnya hanya bermodalkan lagu bertajuk “Cinta Muka Buku”. Lagu tersebut asalnya dicipta oleh kakak beliau iaitu Syafika Latif, 22 Tahun. Bakat beliau mula disedari oleh syarikat rakaman NAR Records yang memanggil beliau untuk diujibakat. Akhirnya, Najwa Latif diterima menjadi artis rakaman syarikat tersebut dan mengikat kontrak selama dua tahun. Kini, beliau telah memiliki klip video rasmi yang telah di upload di You Tube dan memiliki laman sendiri di www.youtube.com/najwa595.  
Apa yang mengagumkan ramai pihak terhadap gadis You Tube kelahiran Batu Pahat, Johor ini adalah kelunakan suaranya yang memukau walaupun usia masih muda iaitu 16 tahun. Selain itu, beliau juga memiliki bakat bermain gitar, menambahkan lagi aset untuknya digilap. Kerjaya beliau kini kian berkembang apabila muncul dengan single kedua, Carta Hati.

Selain itu, bakat-bakat belia ini juga digilap melalui program realiti televisyen di Malaysia. Agak banyak program realiti televisyen diterbitkan semenjak tahun-tahun belakangan ini seperti Vokal Bukan Sekadar Rupa, Pilih Kasih, Mentor, Sehati Berdansa dan sebagainya. Ramai kalangan mereka walaupun tidak meraih gelaran juara program itu, namun berjaya melonjak naik namanya sebaris artis-artis sedia ada. Inilah yang kita gelar sebagai fenomena luar biasa. Contoh terbaik adalah Stacy Akademi Fantasia Ke-6, Faizal Tahir One in A Million (OIAM), Awal Ashaari OIAM, Zizan Maharaja Lawak dan ramai lagi. Bakat-bakat mereka ini telah membawa mereka kepada perkembangan kerjaya dalam bidang seni tanah air seperti menjadi pengacara rancangan televisyen, pelakon, penyanyi dan sebagainya.
   ♥Awal Ashaari♥     ♥Stacy AF6♥     ♥Zizan Maharaja Lawak♥ ♥Faizal Tahir OIAM♥
Selain bidang muzik, teknologi juga melahirkan bakat belia dalam bidang animasi, grafik komputer dan pengeditan video. Ini secara tidak langsung melahirkan juga belia yang kreatif dan inovatif . Sebenarnya ini juga menyumbang kepada kemahiran yang diperlukan dalam peluang pekerjaan. Tambahan pula kemajuan pesat pembangunan pada hari ini memerlukan belia yang memiliki bakat luar biasa dari yang biasa dan mampu bersaing. Mereka boleh mempelajari bakat-bakat dalam bidang animasi di institut pengajian tinggi awam dan swasta. Misalnya, di Limkokwing University, universiti swasta di Malaysia yang mengetengahkan pengajaran khusus untuk bidang teknologi kreatif. Lepasan graduan boleh mengikuti sesi pembelajaran dan menyambung kerjaya dalam pengkhususan seperti Animation Supervisors, Background and Layout Artists, 3D Animators dan sebagainya. Pelajar diajar dengan kemahiran membina sel animasi seperti yang telah dipopularkan oleh Walt Disney.
Pada pemerhatian saya, belia kini semakin bijak memanfaatkan pelbagai aplikasi teknologi. Mereka berjaya membuktikan bakat-bakat terpendam mereka dengan pendedahan di televisyen, aplikasi komputer dan laman-laman sesawang seperti You Tube. Seharusnya bakat-bakat ini tidak dipersia-siakan dengan usaha mereka sendiri atau bantuan pelbagai pihak yang masih menumpukan kepada dinamika yang sama iaitu teknologi dalam melahirkan bakat belia. 

Perkembangan teknologi terhadap perkembangan sahsiah pelajar...("o")



Perkembangan teknologi di alaf baru ini telah menampakkan kepentingan teknologi maklumat sebagai suatu alat yang penting dan telah meresapi semua aspek. Fenomena teknologi dan inovasi dalam kehidupan seharian menjadikan manusia semakin pantas dalam mengalami perubahan dari segi pertuturan, perbuatan dan pemikiran di mana penggunaan teknologi maklumat telah menjadi suatu keperluan dan bukan lagi dianggap sebagai alat yang mahal dan hanya sesuai untuk golongan tertentu sahaja, malah golongan yang kurang berkemampuan juga mampu memilikinya.. Jika sebelum ini komunikasi secara verbal merupakan antara alat penyampai dan penerima utama mesej, tetapi sekarang ia telah digantikan dengan internet, komputer, iphone, ipad dan sebagainya.
     Perkembangan teknologi yang pesat telah melambangkan satu revolusi digital yang berperanan dalam pembentukan sahsiah dalam mengubah cara manusia berfikir, berhubung, bertindak dan bekerja. Hal ini dapat dibuktikan dengan adanya teknologi, ia mampu melahirkan masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan. Sebagai contoh, dengan adanya pendedahan seperti E-learning, iaitu pembelajaran melalui online ia merupakan satu cara yang baik untuk golongan belia atau pelajar dalam mencari maklumat di samping dapat memudahkan lagi proses pembelajaran. Ini adalah kerana pelajaran dan  pembelajaran yang dilakukan didukung oleh jasa teknologi seperti telefon, audio, videotape, transmisi satelit atau komputer.
     Untuk memperjelaskan lagi pembentukan sahsiah itu wujud dengan perkembangan teknologi pada masa kini, yang pertama kita dapat lihat dari segi pemaparan rancangan-rancangan ilmiah yang memberi faedah kepada golongan belia contohnya seperti ceramah agama, ceramah motivasi dan sebagainya di mana golongan belia boleh menonton atau mendapat informasi melalui youtube, vureel.com dan sebagainya. Selain itu juga kalau kita lihat rancangan reality television sendiri pun sebenarnaya sudah ada perubahan, di mana terdapat juga rancangan-rancangan yang berbentuk membimbing sahsiah golongan belia, contohnya rancangan Imam Muda, Ustazah Pilihan, Gadis Melayu yang turut memberi kesan kepada pembentukan sahsiah pada golongan belia.
     Penggunaan teknologi juga turut memberi impak kepada perpaduan, hal ini dapat dibuktikan bahawa penggunaan teknologi dapat membolehkan kita merapatkan hubungan sesama manusia. Contohnya  melalui perkembangan dunia teknologi maya seperti Twitter, Facebook, Yahoo Messenger dan sebagainya. Teknologi maya ini telah menjadikan salah satu keperluan penduduk pada hari ini terutama golongan belia hal ini kerana meraka dapat berinteraksi dalam internet walaupun berada jauh, perkara ini telah mengukuhkan ungkapan “Dunia Tanpa Sempadan”. Di mana dunia seakan-akan menjadi semakin kecil dengan wujudnya teknologi. Sebenarnya kalau kita lihat rancangan-rancanagan di television juga turut memberi peranan dan galakan di dalam memupuk perpaduan sebagai contoh pemaparan yang menerapkan nilai-nilai seperti kerjasama, hormat-menghormati, tolong-menolong yang dapat dilihat di kaca tv mahupun di dalam alam maya.
     Sememangnya kemajuan teknologi ialah pembuka laluan yang luas kepada masa depan yang gemilang. Hal ini dapat di buktikan bahawa dengan adanya kemajuan teknologi ini ia mampu membentuk satu pandangan positif dalam membentuk keperibadian atau akhlak yang mulia. Sebenarnya jika dikaji perkembangan sahsiah adalah satu gambaran pernyataan diri seseorang yang berkembang maju sejajar dengan perkembangan semasa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kewujudan teknologi memainkan peranan yang penting kepada masyarakat dalam membentuk sahsiah terutamanya golongan belia. 

Saturday, 19 November 2011

Belia dan dunia sosial

Dewasa kini, teknologi telah banyak membantu kita di dalam bidang komunikasi. Bermula dengan penciptaan mesin cetak oleh Johanes Gutenberg pada tahun 1440 yang kemudiannya diteruskan dengan pelbagai ciptaan canggih yang makin berkembang seperti mesin telegraph yang dapat menjangkau komunikasi jarak jauh dengan menggunakan kod yang dicipta oleh Samuel Morse pada tahun 1844. seterusnya manusia berjaya untuk berkomunikasi secara semasa (real-time) dengan terhasilnya telefon hasil ciptaan Alexender Graham Bell pada 1876. Pada tahun 1906 pula Guglielmo Marconi mencipta radio dan seterusnya Paul Nitkov mencipta televisyen dan sejak tahun 1935 televisyen adalah sumber yang terpenting dalam memberi maklumat kepada masyarakat.
Hasil daripada ciptaan tersebut maka terhasillah teknologi pada masa kini seperti telefon bimbit atau telefon pintar, komputer, internet dan pelbagai lagi alat komunikasi yang canggih. Pada masa kini, internet telah banyak membantu belia di dalam berkomunikasi seperti mencari maklumat seperti search engine yahoo, google, menyebarkan maklumat seperti 4shared, scribd serta yang paling peting sekali untuk jaringan sosial conthnya facebook, twitter, foursquare dan sebagainya. Facebook mempunyai statistik seramai 750,00 000, diikuti oleh Qzone seramai 481,000,000 dan twitter seramai 200,000,00 pada ogos 2011 dan hasil kajian oleh Pew Research Center’s Internet and American Life Project mendapati bahawa purata pengguna laman sosial Amerika Syarikat adalah bertujuan untuk mencari dan mengekalkan persahabatan dan ahli keluarga. Dengan adanya laman sosial seperti facebook, pengguna khususnya belia dapat mencari dan mengekalkan hubungan persahabatan walaupun mereka jarang berjumpaan tidak kira atas faktor jarak yang terlalu jauh ataupun masa luang yang terlalu sedikit kerana dihimpit oleh jadual kuliah, misalannya. Bagi skop komunikasi berkumpulan atau skala yang lebih besar, laman sosial seperti facebook juga mempunyai kemudahan seperti halaman “group” yang membolehkan mereka berkongsi maklumat secara berkumpul seperti mengetahui maklumat semasa artis kegemaran seperti LMFAO, keluaran gadjet terbaru seperti Apple dan Blackberry dan sebagainya yang digemari oleh belia. 
Peminat LMFAO seramai lebih 7 juta peminat
Sumber: http://www.facebook.com/lmfao?ref=ts
Belia juga menggunakan laman sosial sebagai sebuah medium perbincangan sebagai jalan alternatif daripada membuat perbincangan secara bersemuka, seperti kemudahan chat berkumpulan yang membolehkan setiap ahli kumpulan berbincang sama seperti sebuah perbincangan bersemuka tetapi belia hanya perlu berada di depan laptop atau pc dan berada dimana-mana sahaja serta mendapat respon semasa (realtime)  ketika waktu perbincangan.
Belia pada hari ini juga lebih cenderung untuk menggunakan telefon bimbit atau telefon pintar dan internet untuk bersosial seperti mencari pasangan kekasih dan bercinta. Telefon pintar Blackberry sangat digemari oleh belia dan jualan telefon tersebut makin meningkat kerana ia menyediakan aplikasi Blackberry messenger yang membolehkan belia untuk berhubung tanpa sebarang caj diantara pengguna Blackberry. Bagi laman sosial pula Badoo adalah portal kepada pengguna untuk mencari pasangan. Badoo secara khususnya adalah laman sosial yang menghubungkan pengguna yang mencari pasangan, laman sosial ini bertapak di United Kingdom dan mempunyai ahli 122,000,00 serta menduduki tangga ke tujuh dalam statistik pengguna laman sosial teramai untuk ogos 2011.
Carta terkini statistik laman sosial
Sumber: http://www.socialnomic.net/2011/08/16/social-network-users-statistics/
Blog juga semakin mendapat tempat di hati belia kerana pada hari ini belia semakin memilih dalam mencari maklumat dan lebih pandai menilai maklumat. Belia tidak mudah percaya kepada maklumat yang disebarkan oleh media-media mainstream seperti televisyen, radio dan surat khabar. Maklumat yang diberikan oleh media mainstream selalunya telah memalui proses “filter” oleh gatekeeper seperti editor supaya maklumat yang disampaikan tidak terlalu eksplisit hingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dan menyinggung perasaan mana-mana individu. Oleh itu belia mula beralih angin ke media alterbatif seperti blog kerana maklumat yang disampaikan oleh penulis blog lebih menepati citarasa belia yang mahukan maklumat yang lebih terperinci, sensasi dan semasa. Walaubagaimanapun tidak semua maklumat yang disampaikan oleh blog adalah telus dan benar kerana tiada sekatan oleh mana-mana pihak ketika penulisan blog dihasilkan. Akibatnya, hasil tulisan dari blog tersebut boleh mengakibatkan salah faham antara pembaca blog dan fitnah. Di Malaysia, antara blog-blog yang mendapat sambutan hangat oleh golongan belia adalah blog yang bertemakan hiburan dan trivia dan diikuti dengan blog yang bertemakan politik. Berikut adalah lima daripada dua puluh blog terbaik di Malaysia, senarai yang disediakan adalah berdasarkan bilangan pelawat dan bukannya berdasarkan popularity blog tersebut..pertama ialah beautifulnara, diikuti ohbulan dan blogserius, ketiga-tiga blog ini adalah blog yang bertemakan hiburan dan trivia. Keempat ialah blog papagomo dan milosuam ditangga kelima yang bertemakan politik dalam negara.